Pada pendapat saya institusi pendidikan berkesan ialah apabila sesebuah institusi tersebut dapat mencapai segala matlamat dan objektif yang telah dirangka dengan jayanya. Keberkesanan sesebuah institusi merujuk kepada kejayaan pengurusan atau pentadbiran mematau guru melaksanakan tugas dengan betul dan kejayaan guru pula merujuk kepada segala objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai sebagaimana yang telah dirancang dalam Buku Rekod Mengajar (Lesson Plan). Seterus hasil daripada objektif pengajaran yang dipilih dapat diamalkan dan diadaptasi oleh pelajar dalam kehidupan harian dan masa depan mereka kelak sama ada ketika di menara gading ataupun ketika dalam bidang pekerjaan.
Konsep tentang sekolah berkesan di Malaysia mula diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran pada tahun 1995 dalam Seminar Sekolah Efektif yang telah dianjurkan
oleh Institut Aminuddin Baki. Salah seorang pembentang kertas kerja di seminar
tersebut ialah Peter Mortimore (1995) dari Universiti London. Beliau telah
membentangkan kertas kerja yang berjudul Key Characteristics of Effective Schools. Dalam kertas kerja beliau, Mortimore
menyenaraikan 11 ciri sekolah berkesan seperti berikut: (1) kepimpinan
profesional, (2) perkongsian visi dan matlamat, (3) kewujudan budaya
pembelajaran, (4) penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran, (5)
pengajaran bermatlamat, (6) pengharapan yang tinggi, (7) pengukuhan yang positif, (8) pemantauan terhadap perkembangan, (9)
hak dan tanggungjawab murid, (10) permuafakatan rumah-sekolah, dan (11)
organisasi dinamik. Sementara itu, Abdul Shukor (1995) menyenaraikan ciri
sekolah yang berkesan seperti berikut : (1) mempunyai kepimpinan pengetua yang
kuat dengan tumpuan pengurusan adalah terhadap peningkatan kualiti pengajaran,
(2) membina iklim persekolahan di mana tiap-tiap murid berada dalam satu tahap pencapaian
yang ditetapkan terlebih dahulu dan tidak lebih rendah daripada itu, (3)
mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlunya membina peraturan ketat,
tenang dan tanpa penindasan, tetapi selesa untuk suasana proses pengajaran, (4)
memberi keutamaan terhadap proses pengajaran di mana sekolah berusaha
bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat pengajaran dilaksanakan secara
teratur dan memberi faedah, serta (5) mengesan kemajuan murid secara
sistematik, iaitu pengetua dan guru-guru mengawas kemajuan murid berpandukan
kepada kehendak dan objektif pengajaran. Kajian ini bertujuan untuk menentukan
ciri penting iklim sekolah menengah agama berkesan dan implikasinya terhadap
motivasi pembelajaran untuk mengenal pasti tahap amalan pengurusan budaya
kolaboratif pengurus (pengetua) wanita di sekolah dan pengaruhnya terhadap
motivasi menurut perspektif guru.
IKLIM SEKOLAH BERKESAN
Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran
dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Halpin
dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan
bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan
bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah
berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai
keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di
dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah
sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan
selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Memandangkan faktor
iklim sekolah turut membantu mewujudkan sekolah yang berkesan, maka terdapat
beberapa pengkaji yang telah mengetengahkan beberapa ciri iklim sekolah
berkesan hasil daripada kajian yang mereka lakukan. Mengikut Halpin dan Croft
(1963), iklim sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri berikut: (1) guru-guru
merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan, (2) guru-guru tidak rasa
tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan muridmuridnya, (3) pengetua
merasa penuh yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa, dan (4) pelajar
merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh. Abdul Rahman an-Nahlawi (1995)
pula menyatakan iklim sekolah yang berkesan mampu mewujudkan integrasi dan
keharmonian sesama pelajarnya yang berbeza status sosio-ekonomi mereka (SES). Selain itu, sekolah juga mampu mengurangkan
perbezaan-perbezaan sesama mereka. Pihak sekolah juga boleh mewujudkan
kerjasama dengan keluarga pelajar. Hubungan yang mesra di antara sekolah dan
keluarga akan membentuk pendidikan yang lebih sempurna bagi pelajar-pelajarnya.
Sesebuah sekolah berkesan daripada kaca mata Islam pula tidak sempurna sekiranya
tidak wujud suasana keagamaan (iklim dini) di sekolah, khususnya jika majoriti
warga sekolah sama ada pelajar, guru dan kakitangannya adalah beragama Islam.
Ini bertepatan dengan pandangan Rosnani dalam muqaddimah buku Ali Mohammed
(2002:x) yang mengatakan bahawa sesebuah sekolah bukan sahaja perlu efektif,
tetapi yang lebih penting ialah bagaimana guru dan pelajarnya yang kuat
pegangan agama Islam berusaha untuk membawa sekolah berkenaan ke puncak
kejayaan. Menurut Fathiah (2005), suasana sekolah yang mencerminkan ciri
keislaman yang sebenar, boleh menyediakan persekitaran harmoni dan melahirkan kasih
sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang membawa
kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian murid-murid. Selain itu, pengetua yang
memimpin guru-guru, menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada
kemungkaran serta menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam. Mengikut
pandangan Rosnani (1998), pihak pengurusan sekolah hendaklah berusaha
mewujudkan budaya sekolah yang menghidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak
supaya murid-murid merasa selamat, sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk
maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari
keredhaan Allah S.W.T. dan bukan sekadar untuk
menggembirakan warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian daripada budaya ini
adalah bersifat muraqabah, iaitu merasa Allah sentiasa memerhatikan perbuatan
mereka untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jika setiap warga sekolah daripada
pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar-pelajar menghayati
nilai-nilai akhlak ini, pasti sekolah berkesan dari sudut disiplin akan wujud
dan kurang keperluan kepada pengawasan. Bagaimanapun, melihat realiti insan
yang mempunyai nafsu, memang masih perlu juga pengurusan sekolah memantau
kegiatan dan perilaku murid-murid, khususnya akhlak mereka yang perlu sentiasa
dinasihati dan dibimbing. Dziauddin (1999) pula mengatakan suasana persekitaran
pendidikan yang menekankan kepada perkembangan akal dan fizikal serta pemurnian
dan pemantapan rohani serta iman sebagai satu pakej yang mantap. Oleh itu,
persekitaran sekolah yang selesa daripada aspek rohani, emosi dan kemasyarakatan
sebegini boleh mengukuhkan aqidah dan akhlak keislaman yang berasaskan ilmu
yang benar, amanah, ikhlas dan menghormati masalah umum, bekerjasama dan
ketaatan tanpa melibatkan derhaka kepada perintah Allah. Suasana kerja seperti
ini akan membina semangat kerja yang kuat ke arah mempertingkatkan motivasi. Menurut
Mahi Din (1998:2), dengan timbulnya suasana yang harmonis dalam hubungan
manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berasaskan ajaran
tauhid, manusia akan dapat memahami hakikat budaya ilmu dengan baik dan dapat
mengekalkan identiti dan fungsi yang sebenar, iaitu ilmu sebagai alat yang
boleh membawa kepada kebenaran. Justeru, iklim dini di sekolah merupakan
sebahagian daripada usaha pendidikan bersepadu meliputi tiga dimensi utama
insan, iaitu rohani, intelek dan jasmani bagi membolehkan para pelajar dan guru
mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam semua aktiviti di sekolah dan juga
meningkatkan motivasi warga sekolah. Kesimpulannya, kebanyakan kajian yang
dijalankan tentang iklim sekolah menunjukkan iklim sekolah akan mewujudkan
suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu pelajar
memperoleh pencapaian yang lebih baik dan guru-guru lebih puas untuk bekerja.
Ibrahim (1993:78) menegaskan bahawa iklim yang positif sangat perlu wujud di
sesebuah sekolah. Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat hubung
kait yang rapat antara iklim sekolah dengan kejayaan murid. Sekiranya iklim
baik, guru dan murid akan lebih bermotivasi dan pada masa yang sama aktiviti pengajaran
dan pembelajaran akan berjalan dengan baik.
No comments:
Post a Comment