Monday, 8 April 2013

Institusi pendidikan (sekolah) berkesan

Pada pendapat saya institusi pendidikan berkesan ialah apabila sesebuah institusi tersebut dapat mencapai segala matlamat dan objektif yang telah dirangka dengan jayanya. Keberkesanan sesebuah institusi merujuk kepada kejayaan pengurusan atau pentadbiran mematau guru melaksanakan tugas dengan betul dan kejayaan guru pula merujuk kepada segala objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai sebagaimana yang telah dirancang dalam Buku Rekod Mengajar (Lesson Plan). Seterus hasil daripada objektif pengajaran yang dipilih dapat diamalkan dan diadaptasi oleh pelajar dalam kehidupan harian dan masa depan mereka kelak sama ada ketika di menara gading ataupun ketika dalam bidang pekerjaan.


Konsep tentang sekolah berkesan di Malaysia mula diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1995 dalam Seminar Sekolah Efektif yang telah dianjurkan oleh Institut Aminuddin Baki. Salah seorang pembentang kertas kerja di seminar tersebut ialah Peter Mortimore (1995) dari Universiti London. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang berjudul Key Characteristics of Effective Schools. Dalam kertas kerja beliau, Mortimore menyenaraikan 11 ciri sekolah berkesan seperti berikut: (1) kepimpinan profesional, (2) perkongsian visi dan matlamat, (3) kewujudan budaya pembelajaran, (4) penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran, (5) pengajaran bermatlamat, (6) pengharapan yang tinggi, (7) pengukuhan yang positif, (8) pemantauan terhadap perkembangan, (9) hak dan tanggungjawab murid, (10) permuafakatan rumah-sekolah, dan (11) organisasi dinamik. Sementara itu, Abdul Shukor (1995) menyenaraikan ciri sekolah yang berkesan seperti berikut : (1) mempunyai kepimpinan pengetua yang kuat dengan tumpuan pengurusan adalah terhadap peningkatan kualiti pengajaran, (2) membina iklim persekolahan di mana tiap-tiap murid berada dalam satu tahap pencapaian yang ditetapkan terlebih dahulu dan tidak lebih rendah daripada itu, (3) mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlunya membina peraturan ketat, tenang dan tanpa penindasan, tetapi selesa untuk suasana proses pengajaran, (4) memberi keutamaan terhadap proses pengajaran di mana sekolah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat pengajaran dilaksanakan secara teratur dan memberi faedah, serta (5) mengesan kemajuan murid secara sistematik, iaitu pengetua dan guru-guru mengawas kemajuan murid berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran. Kajian ini bertujuan untuk menentukan ciri penting iklim sekolah menengah agama berkesan dan implikasinya terhadap motivasi pembelajaran untuk mengenal pasti tahap amalan pengurusan budaya kolaboratif pengurus (pengetua) wanita di sekolah dan pengaruhnya terhadap motivasi menurut perspektif guru.
 
IKLIM SEKOLAH BERKESAN
 
Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Memandangkan faktor iklim sekolah turut membantu mewujudkan sekolah yang berkesan, maka terdapat beberapa pengkaji yang telah mengetengahkan beberapa ciri iklim sekolah berkesan hasil daripada kajian yang mereka lakukan. Mengikut Halpin dan Croft (1963), iklim sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri berikut: (1) guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan, (2) guru-guru tidak rasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan muridmuridnya, (3) pengetua merasa penuh yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa, dan (4) pelajar merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh. Abdul Rahman an-Nahlawi (1995) pula menyatakan iklim sekolah yang berkesan mampu mewujudkan integrasi dan keharmonian sesama pelajarnya yang berbeza status sosio-ekonomi mereka (SES). Selain itu, sekolah juga mampu mengurangkan perbezaan-perbezaan sesama mereka. Pihak sekolah juga boleh mewujudkan kerjasama dengan keluarga pelajar. Hubungan yang mesra di antara sekolah dan keluarga akan membentuk pendidikan yang lebih sempurna bagi pelajar-pelajarnya. Sesebuah sekolah berkesan daripada kaca mata Islam pula tidak sempurna sekiranya tidak wujud suasana keagamaan (iklim dini) di sekolah, khususnya jika majoriti warga sekolah sama ada pelajar, guru dan kakitangannya adalah beragama Islam. Ini bertepatan dengan pandangan Rosnani dalam muqaddimah buku Ali Mohammed (2002:x) yang mengatakan bahawa sesebuah sekolah bukan sahaja perlu efektif, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana guru dan pelajarnya yang kuat pegangan agama Islam berusaha untuk membawa sekolah berkenaan ke puncak kejayaan. Menurut Fathiah (2005), suasana sekolah yang mencerminkan ciri keislaman yang sebenar, boleh menyediakan persekitaran harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang membawa kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian murid-murid. Selain itu, pengetua yang memimpin guru-guru, menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran serta menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam. Mengikut pandangan Rosnani (1998), pihak pengurusan sekolah hendaklah berusaha mewujudkan budaya sekolah yang menghidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak supaya murid-murid merasa selamat, sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T. dan bukan sekadar untuk menggembirakan warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian daripada budaya ini adalah bersifat muraqabah, iaitu merasa Allah sentiasa memerhatikan perbuatan mereka untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jika setiap warga sekolah daripada pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar-pelajar menghayati nilai-nilai akhlak ini, pasti sekolah berkesan dari sudut disiplin akan wujud dan kurang keperluan kepada pengawasan. Bagaimanapun, melihat realiti insan yang mempunyai nafsu, memang masih perlu juga pengurusan sekolah memantau kegiatan dan perilaku murid-murid, khususnya akhlak mereka yang perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing. Dziauddin (1999) pula mengatakan suasana persekitaran pendidikan yang menekankan kepada perkembangan akal dan fizikal serta pemurnian dan pemantapan rohani serta iman sebagai satu pakej yang mantap. Oleh itu, persekitaran sekolah yang selesa daripada aspek rohani, emosi dan kemasyarakatan sebegini boleh mengukuhkan aqidah dan akhlak keislaman yang berasaskan ilmu yang benar, amanah, ikhlas dan menghormati masalah umum, bekerjasama dan ketaatan tanpa melibatkan derhaka kepada perintah Allah. Suasana kerja seperti ini akan membina semangat kerja yang kuat ke arah mempertingkatkan motivasi. Menurut Mahi Din (1998:2), dengan timbulnya suasana yang harmonis dalam hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berasaskan ajaran tauhid, manusia akan dapat memahami hakikat budaya ilmu dengan baik dan dapat mengekalkan identiti dan fungsi yang sebenar, iaitu ilmu sebagai alat yang boleh membawa kepada kebenaran. Justeru, iklim dini di sekolah merupakan sebahagian daripada usaha pendidikan bersepadu meliputi tiga dimensi utama insan, iaitu rohani, intelek dan jasmani bagi membolehkan para pelajar dan guru mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam semua aktiviti di sekolah dan juga meningkatkan motivasi warga sekolah. Kesimpulannya, kebanyakan kajian yang dijalankan tentang iklim sekolah menunjukkan iklim sekolah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu pelajar memperoleh pencapaian yang lebih baik dan guru-guru lebih puas untuk bekerja. Ibrahim (1993:78) menegaskan bahawa iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat hubung kait yang rapat antara iklim sekolah dengan kejayaan murid. Sekiranya iklim baik, guru dan murid akan lebih bermotivasi dan pada masa yang sama aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan baik.
 

 

Quality Learning (Value diversity) Membentuk Sekolah Berkesan

Manusia telah dijadikan Allah bukan sahaja berbeza dari segi fizikal seperti warna kulit, rupa, tinggi, rendah, warna rambut, warna mata, dan sebagainya. Manusia juga berbeza dari sudut pandangan, pemikiran, perangai, sifat, tabiat, dan sebagainya. Guru-guru, pengetua atau pentadbiran juga tidak terlepas daripada kepelbagaian tersebut kerana mereka semua golongan manusia tersebut. Begitu juga dengan nilai yang ada dalam kalangan mereka juga akan berbeza-beza dari sudut amalan atau fahaman mereka. Sebagai seorang ketua atau pengetua di institusi-institusi pendidikan perlu sedar dan tahu akan kepelbagaian nilai yang ada dalam setiap guru. Antara kepelbagaian nilai yang mesti diamalkan oleh guru yang perlu diketahui oleh seorang pengetua ialah:

1. Berupaya bertolak ansur atau bertoleransi dalam perkara-perkara yang memerlukan 
    berbuat demikian.
2. Perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain sama ada sesama
    guru, pelajar, atau pihak pentadbiran.
3. Bertindak secara profesional dengan boleh menerima kritikan atau cadangan secara
   terbuka dalam keadaan salaing hormat-menghormati sama ada sesama guru, pelajar,
   atau pihak pentadbiran.
4. Perasaan dan kelakuan sepenuh hati menerima pandangan dan idea orang lain.
5. Berupaya dengan sepenuh hati menerima satu tanggungjawab yang telah diputuskan
    dalam sesuatu keputusan terutamanya yang telah diputuskan dalam sesuatu mesyuarat.




 

Jenis kepemimpinan untuk menjadi sekolah berkesan dan cara melaksanakannya

Soalan : Bolehkah anda nyatakan kepemimpinan jenis apakah yang mampu menjadikan sesebuah sekolah itu boleh menjadi berkesan dan huraikan bagaimanakah kepemimpinan ini melaksanakannya.

Pada pendapat saya kepimpinan instruksional yang mampu menjadikan sesebuah sekolah itu berkesan. Menurut Sazali, Rusmini, Abang Hut & Zamri (2007) di Malaysia kepimpinan  instruksional mula mendapat tempat dalam kalangan pengetua sekolah kerana amat signifikan dalam melahirkan sekolah berkesan. Dalam abad ke-21 amalan kepimpinan instruksional masih relevan dan dapat menyumbang kepada kecemerlangan sekolah (Hallinger 2005; Jabatan Perdana Menteri 2010). Keberkesanan amalan kepimpinan instruksional turut dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (KPM 2007) dan Jabatan Perdana Menteri (2010). Alimuddin (2010) menjelaskan seorang pemimpin instruksional yang menjadi agen perubahan dan mewujudkan persekitaran di sekolah yang kondusif dapat memberi impak yang signifikan dalam kecemerlangan pelajar. Menurut beliau lagi, tanggungjawab pengetua sebagai pemimpin instruksional adalah memastikan pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti akademik dirancang dan dilaksanakan dengan baik, proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan baik dan teratur serta melaksanakan pengurusan akademik yang teratur agar guru dapat mengajar dengan berkesan (Pendidik 2010).




RUJUKAN





Alimuddin Mat Dom. 2010. Ciri-ciri pengetua yang outstanding. Pendidik. Widad Publications. Selangor. Bil. 73.

 
Hallinger, P. 2005. Instructional leadership and the school principal: A passing fancy that refuses
to fade away. Leadership and Policy in Schools Journal. 4: 1-20.
Jabatan Perdana Menteri. 2010. Program transformasi kerajaan : Pelan hala tuju. Unit

Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan. Putrajaya.


Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Memperkasa kepimpinan instruksional di sekolah.

Bahagian Sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia.


Pendidik. Januari 2010. Guru pegang janji setia, jamin kualiti pendidikan negara. Bil 68. Widad

Publications. Selangor.


Sazali Yusoff, Rusmini Ku Ahmad, Abang Hut Abang Engkeh & Zamri Abu Bakar. 2007. Perkaitan antara kepimpinan instruksional terhadap sekolah berkesan. Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Institut Aminuddin Baki. 17 (2): 105-117. 22(1): 73-91.

Menjadi sekolah berkesan di peringkat daerah, negeri dan negara

Soalan : Anda telah dilantik sebagai pengetua di sebuah sekolah menengah yang dianggap sebagai sekolah yang bermasalah. Anda diarahkan untuk menyediakan kertas cadangan kepada pegawai PPD tentang apakah perancangan anda dalam membangunkan sekolah ini menjadikan sekolah berkesan melalui pembentukan visi dan misi sekolah yang berteraskan falsafah pendidikan Kebangsaan, matlamat dan misi KPM. Rancang dan huraikan dengan jelas bagaimana anda dapat membantu sekolah tersebut menjadi sekolah berkesan di peringkat daerah, negeri mahu pun negara.

Jawapan :

Sebagai seorang pengetua bagi sesebuah sekolah yang bermasalah, langkah pertama yang saya ambil ialah mencari potensi atau kekuatan sekolah tersebut yang boleh membantu meningkatkan prestasi sekolah. Perubahan yang diharapkan adalah untuk menjadikan sekolah tersebut cemerlang. Walau bagaimanapun, jika terdapat sedikit penambah baik hal demikian juga boleh dianggap satu kejayaan besar dalam usaha memperbaiki sekolah bermasalah.

PEMIMPIN TRANSFORMASI

Soalan : Mengapa sekolah perlukan pemimpin Transformasi?

Pemimpin transformasi ialah pemimpin yang berupaya membawa perubahan terhadap sesebuah organisasi yang dipimpin kepada menjadi lebih maju, kekal relevan dan berdaya saing dengan organisasi-organisasi yang lain. Dengan tujuan meningkatkan kecemerlangan di sesebuah sekolah, pengetua selaku pemimpin transformasi haruslah berani membuat perubahan dan penambah baik kepada sekolah agar wujud satu budaya yang cemerlang di sekolah masing-masing. Untuk mengikuti arus pendidikan semasa, pengetua harus sentiasa mengamalkan budaya menimba ilmu yang dapat mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai secara berterusan untuk dirinya sendiri dan guru-guru di bawah seliaannya. Pengarah juga perlu merefleksi diri secara rutin atau harian bagi menangani masalah, isu serta cabaran semasa. Pemimpin transformasi yang memiliki keilmuan yang tinggi tentang kurikulum dan pedagogi serta tatacara pembelajaran dengan cara mengetahui proses penyampaian ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran, mampu menterjemah pengoperasian kurikulum, melaksanakan pembangunan staf serta memahami proses pencerapan , penyeliaan dan pengurusan kelas. Implikasinya, pengetua mampu merancang dan melaksanakan idea perubahan serta penambahbaikan yang terbaik terhadap system sekolah bagi menjadikannya sekolah berkesan. Pengetua selaku pemimpin transformasi juga mewujudkan semangat kerja berpasukan dengan setiap keputusan dibuat secara permuafakatan menjadi teras kejayaan bersama. Bagi memastikan kepimpinan transformasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, maka pengetua harus memiliki kemahiran berkomunikasi yang tinggi dan perhubungan yang baik dan erat dengan semua lapisan warga sekolah dan komuniti setempat. Pemimpin Tranformasi sangat penting kerana prestasi sesebuah sekolah atau institusi pendidikan sangat bergantung kepada idea perubahan yang dibawa oleh pemimpin sekolah atau institusi yang berkenaan.

Jenis Sekolah Mengikut Keberkesanan dan Peningkatan


1) Sekolah Bergerak (Berkesan + Meningkat)

Sekolah bergerak bermaksud sekolah yang mengamalkan budaya sekolah berkesan dan pencapaian kecemerlangan pelajarnya sentiasa meningkat.

2) Sekolah Mengekalkan Prestasi (Berkesan + Merosot)

Sekolah yang mengekalkan prestasi ialah sekolah yang mempunyai budaya sekolah berkesan namun pencapaian kecemerlangan pelajarnya merosot atau tidak berubah.

3) Sekolah Merangkak (Tidak Berkesan + Meningkat)

Sekolah yang tidak mempunyai dan mengamalkan budaya sekolah berkesan namun prestasi sekolah meningkat.

4) Tenggelem ( Tidak Berkesan + Merosot)

Sekolah bukan sahaja tidak mempunyai dan mengamalkan budaya sekolah berkesan, bahkan prestasi dan pencapaian akademik pelajar juga merosot.

Sunday, 31 March 2013

BUDAYA CEMERLANG

Iklim dan budaya sekolah adalah penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Bagaimanakah anda sebagai pemimpin memastikan budaya sekolah cemerlang diamalkan oleh warga sekolah anda?

Sebagai seorang pemimpin sekolah saya akan memastikan budaya cemerlang sentiasa diamalkan di sekolah. Untuk tujuan membudayakan kecemerlangan tersebut beberapa pendekatan saya guna pakai. Pendekatan yang paling utama ialah berkongsi objektif dan matlamat. Saya akan mematikan objektif dan matlamat sekolah boleh difahami dan dikongsi bersama guru, pelajar, pekerja bukan akademik, dan ibu bapa serta penjaga. Dengan tujuan tersebut, saya akan jelaskan misi, visi, objektif, dan matlamat sekolah sama ada dalam setiap ucapan, dalam mesyuarat, dan terdapat juga di dinding-dinding atau papan kenyataan. Selain itu saya akan mengamalkan budaya kerja profesioanal yang diterapkan dalam amalan setiap guru dan pelajar-pelajar.